Archive Page 2

06
May
09

rakyat adalah ‘trademark’

Andai di tanya apakah perkataan yang paling mendapat tempat dalam arus perbincangan masyarakat lewat dekad ini. maka ‘rakyat’ jawapannya.

Asas yang mudah, untuk kita mengahmpiri sesuatu golongan, mestilah terlebih dahulu kita meletakkan diri kita hampir dan dekat dengan golongan yang mahu dirapati. Tertarik untuk melihat tindakan kerajaan baru yang kita angkat untuk memerintah bumimalaya, kepimpinan Pak Jib di kira bersungguh untuk melakukannya. Berada dekat dengan rakyat.

Kerana semangat dan iltizam ini, maka lahir berbagai modus operandi dan falsafah. Salah satu ilmu yang agak praktikal ialah dengan menamakan semula sesuatu dengan nama yang segar dan rapat di hati semua masyarakat marhaen. Atau dalam erti kata yang lebih jelas dan biasa kepada kita : ‘rebranding’. Tinggalkan seketika persoalan ‘kata mesti dikota’ dan ‘kulit mesti menggambarkan isi’. Fasa pertama yang perlu untuk dilepasi dengan berjaya adalah jenama. Yang akan memberi gambaran berkenaan apakah isi dan inti sesuatu perkara.  Walaupun isi tidaklah seperti yang digambarkan. Namun itulah peranan nama.

Kabinet Rakyat.

Bajet Rakyat.

Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Itu. Antara kalimah yang dijunjung kerajaan. Mungkin kerana pengalaman berhadapan gerakan majoriti senyap yang menyebabkan terhasilnya keputusan pilihanraya Mac lalu, maka mereka melakar sesuatu yang baru untuk masuk ke dalam gerakan ini.

Pada satu sudut, Pakatan Rakyat sudah lama menang mengatasi Barisan Nasional. Ya, mereka menang sebelum bertanding. Kekuatan yang ada pada nama adalah penalti besar kepada pasukan kerajaan.

Linguistik. Pakatan Raktyat memberi gambaran jelas bahawa gerakan pasukan itu memang datang dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat. Barisan Nasional?

Kini, kumpulan kerajaan Pak Jib ‘mencuri’ perkataan keramat yang satu itu daripada Pakatan Rakyat. Tidak salah. Dan tidak perlu untuk ditimbulkan pun sebenarnya. Cuma yang menarik perhatian saya adalah betapa peri pentingnya akan perkataan ini.

04
May
09

Masyarakat Keliru

Boikot : Kelemahan Formula Semangat, Kekangan Dan Sikap

Masih segar ingatan kita terhadap peristiwa serangan ke atas Gaza. Masih segar ingatan kita terhadap kekejaman tentera Zionis dan masih segar ingatan kita terhadap titisan-titisan darah yang mengalir dari setiap inci tubuh penduduk Gaza. Tatkala setiap kali ingatan terbayang peristiwa ini, maka setiap kali itulah emosi kita terganggu. Walaupun bumi Palestin itu beribu batu jauhnya dari Malaysia, namun atas dasar persaudaraan sejagat dan agama, kita juga turut menangis atas kesedihan mereka. Praktikalnya, kita punya cara yang tersendiri untuk menolong mereka. Dan salah satu tindak balas yang dilancarkan masyarakat Malaysia ialah dengan memboikot barangan dan produk Yahudi.

Idea

Idea ini pada dasarnya datang sebagai tanda protes terhadap serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza. Perlu untuk kita fahami maksud setiap aspek dalam kempen boikot ini tanpa tertinggal satu perkataan pun. Pertama ialah kenapa? Logiknya ialah kerana bangsa Yahudi memiliki perniagaan yang menjadi pengeluar kepada produk dan barangan pengguna. Maka, setiap sen wang yang dibelanjakan untuk membeli barangan mereka akan digunakan sebagai penyumbang dana kepada Israel. Inferensnya ialah, bila kita tidak membeli barangan mereka maka mereka tidak punya keuntungan dan tidak mampu untuk menyumbang kepada negara untuk menampung kos ketenteraan. Para pembayar cukai akan tidak dapat memaksimumkan keuntungan mereka untuk disalurkan kepada negara. Susur galur perjalanan ekonomi dalam konteks kita dan yahudi agak jelas pada mata kasar. Tidak lebih dan tidak kurang hanyalah perubungan antara penjual dan pembeli.

Kekangan

Kita secara teorinya boleh berbangga dengan istilah kuasa beli pengguna. Barangkali pelajar sekolah tadika yang suka menemani bapanya menonton berita pun akan tahu berkenaan soal ini. Namun asasnya adakah kita bersedia dan mampu untuk melancarkan gerak gempur kuasa pembeli ini. Bercakap soal kemampuan, kita sebebnarnya terikat dengan persoalan siapakah kita? Dalam dunia kepenggunaan, kita, penduduk Malaysia menggunakan hampir keseluruhan barangan yang asal usulnya daripada Yahudi ini. Andainya kita lari dari menggunakan barangan ini, maka matilah kita jawabnya. Maka akan timbul pula fakta berkenaan dengan ‘kita juga punya barangan tempatan’ Kicap cap Tamim. Beras Cap Jati. Itu apa? Kenapa tidak kita boikot barangan Yahudi dan berpindah kepada menggunakan barangan tempatan?

Sikap

Akhir kalam, kita akan mendapati sebenarnya, kita punya sikap yang bermuka-muka. Mahu memboikot barangan Yahudi, tapi tidak rela untuk berjauhan dengan barangan mereka. Punya pilihan untuk menggunakan barangan tempatan, tapi masih selesa dengan Colgate dan Nestle . Patriotikkah?

Pada mata saya, kita tidak ubah sekadar sebuah masyarakat yang keliru. Keliru antara nasib saudara seagama dan nafsu untuk survival. Keliru antara keselesaan barangan luar dan tempatan.

Jadi kenapa perlu berteriak bila Palestine dibom tatkala diri tidak bersedia untuk berubah?

25
Nov
08

Obama : Mampu atau Tidak

Situasi : Obama Presiden AS

Persoalan : Mampu atau Tidak Mengubah Doktrin AS?

Kemenangan Barack Obama dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat yang ke-56 lalu berjaya membawa dimensi baru terhadap iklim politik negara ‘uncle Sam’ itu. Legasi pemerintahannya bakal dipimpin oleh orang kulit hitam buat pertama kali dalam sejarah.

Perlu diakui, kejayaan ini adalah kerana Obama dari parti Demokrat dilihat tampil lebih berkeyakinan dengan pelbagai manifesto yang merangkumi sektor ekonomi, politik dan sosial.

‘Change!’. Itulah moto yang menjadi roh dan jiwa kepada perjuangan Obama sepanjang kempen yang lalu. Warga AS, melihat moto ini begitu bersesuaian dengan harapan Obama akan mengubah dasar pentadbiran George W. Bush yang mencetuskan begitu banyak masalah. Kerana moto inilah juga, masyarakat antarabangsa menyambut kemenangan ini dengan nada yang agak gembira walaupun masih dalam situasi tunggu dan lihat.

Persoalan, adakah kemenangan Barack Obama mampu untuk mengubah dasar dan doktrin AS terhadap dunia? Gambaran pertama terhadap frasa di atas ialah dasar dan doktrin AS terhadap dunia ini semestinyalah telah mencetuskan berjuta masalah sehinggakan ia perlu diubah. Pada fikiran penulis, disaat kita bercerita berkenaan soal ini, perlu untuk kita fahami tiga perkara pokok iaitu pertama, sejarah peranan dan pengamalan presiden AS, kedua apakah dasar yang diamalkan oleh AS sekarang dan ketiga, adakah kapasiti yang ada pada Obama sebagai presiden nanti memadai untuk mengubah dasar ini. Dan selepas itu, barulah kita boleh menyatakan teori sama ada ‘mampu’ atau ‘tidak’.

Sejarah

Umumnya, ‘doktrin’ yang bermaksud prinsip atau kepercayaan ini akan membawa kepada terbinanya sesuatu dasar. Sejarah AS menunjukkan setiap presiden mempunyai doktrin yang tersendiri. Doktrin Nixon yang membawa kepada Perang Vietnam, Doktrin Reagen yang menyemarakkan Perang Dingin terhadap Kesatuan Soviet, Doktrin Clinton yang mencetuskan Perang Bosnia dan terkini, Doktrin Bush yang mencetuskan Perang Iraq dan Afghanistan.

Tipikalnya, setiap kali watak baru memegang portfolio sebagai presiden AS, setiap kali itulah tercetusnya peperangan atas nama mendokong demokrasi. Jelas, pendekatan peperangan untuk melebarkan hegemoni memang menjadi dasar tradisi mereka dengan alasan pihak yang satu lagi gagal memahami prinsip diplomasi .

Dasar

Hakikatnya, dasar yang ada sekarang bermasalah. Antara yang menjadi fokus ialah dasar memerangi keganasan. Perang Afghanistan dan Iraq bukan sahaja berjaya merosakkan negara orang lain, malah membunuh ribuan rakyat, hatta askar AS sendiri serta menelan kos yang tinggi.

Paling ketara ialah dasar luar AS. Sikap AS terhadap isu di Asia Barat dan Timur Tengah amat tidak adil. Isu Israel-Palestin memperlihatkan Israel secara sengaja melanggar perjanjian pelan damai yang dipersetujui, membunuh ribuan rakyat Palestin, dan melanggar lebih daripada 70 resolusi PBB, namun AS yang bertindak selaku penaja proses perdamaian menghalalkan tindakan itu walaupun memiliki kuasa veto di PBB.

Tambahan, dasar berkaitan pembangunan tenaga dan senjata AS juga tidak adil. Dasar yang membawa kepada sikap skeptik AS terhadap program pembangunan nuklear Iran telah mencetuskan ketegangan walaupun Iran memperakui pembangunan tenaga nuklearnya adalah untuk tujuan bidang kesihatan dan pertanian dan disahkan oleh IAEA. Sebaliknya, Israel dan Korea Utara yang tanpa berselindung mengakui mereka memang menjalankan pembangunan tenaga nuklear dan senjata pemusnah seperti peluru berpandu, tidak pula ditekan AS.

Terkini, dasar ekonomi AS juga bermasalah. Krisis subprima yang menjadi punca kepada krisis ekonomi global adalah disebabkan oleh sistem pasaran bebas dan sistem kewangan perbankan yang mengutamakan riba dan menguntungkan sesetengah pihak.

Kapasiti

Berbalik kepada soal kapasiti yang ada pada Obama, persoalannya adakah kerja dan keputusan pembentukan dasar AS berada di bawah kuasa mutlak presiden semata-mata? Kita bukan lagi hidup pada zaman feudal di mana raja berkuasa mutlak.

Praktikalnya, di AS wujud golongan yang berpengaruh dalam pembentukan dasar dan hala tuju negara. Golongan yang popular dengan gelaran ‘pelobi Yahudi’ ini sudah wujud sekian lama dalam pentadbiran AS sejak zaman Presiden Woodrow Wilson. Golongan ini tetap wujud, walau presiden bersilih ganti.

Pelobi Yahudi menguasai segenap ceruk bidang ekonomi dari makanan sehinggalah media massa. Watak-watak seperti Paul Wolfowitz, Zbigniew Brzezinski dan Ari Fleischer adalah penasihat belakang tabir dasar AS.

Michael Dell (IT) dan Steven Spielberg (perfileman dan media) juga adalah contoh penyumbang kemantapan ekonomi AS. Jaringan sosial mereka yang menyumbang hampir separuh daripada dana pendidikan AS, kemudahan kesihatan mahupun fasiliti umum bernilai jutaan dolar AS.

Berdasarkan kepada realiti ini, fahamlah kita bahawa dasar ekonomi dan dasar luar AS yang pro-Israel seperti isu Palestin, isu Iran, perang Afghanistan dan Iraq ada hubung kait dengan pelobi Yahudi.

Secara logik akalnya, adakah Obama sanggup untuk tidak mengambil kira pandangan dan kemahuan pelobi Yahudi dalam menentukan dasar AS nanti, sedangkan pada masa yang sama, ekonomi AS yang merupakan tonggak kesejahteraan rakyat menjadi galang ganti?

Kalaupun Obama benar-benar ikhlas, memadaikah semangat dan janji beliau untuk melakukan perubahan dalam keadaan United States National Security Council dipengaruhi oleh pelobi Yahudi? Dan yang paling penting, sepanjang menjadi Senator, Obama menyokong penuh organisasi Aipac yang digerakkan oleh pelobi pro-Israel.

Nampak seolah-olah Obama cuba bermain retorik.

Harapan

Maka, terpulanglah kepada kita untuk menyatakan sama ada mampu atau tidak Obama mengubah dasar dan doktrin AS terhadap dunia. Teori mampu ini mengambil kira pelbagai faktor di atas. Namun dalam diam, seantero masyarakat antarabangsa masih mengharapkan moto ‘Change’ benar-benar direalisasikan!

25
Nov
08

Hipotesis Harga Minyak

Harga petrol dan diesel turun lagi sebanyak 15 sen seliter baru – baru ini. Walaupun begitu, harga kebanyakan barang keperluan tidak berubah.

Kredit perlu diberikan kepada kerajaan Malaysia atas tindakan popular iaitu menurunkan harga petrol dan diesel untuk penjualan domestik. Umum mengetahui bahawasanya harga petrol di pasaran dunia kini berlegar di bawah paras AS$70 setong. Justeru, tindakan kerajaan menurunkan harga petrol dan diesel ini adalah selaras dengan penurunan harga yang berlaku di pasaran antarabangsa. Sehingga kini, harga petrol yang terdiri daripada RON97 dan RON92 ialah masing – masing pada paras RM2.15 dan RM2.05 seliter, dan diesel RM2.05 seliter yang bermula 2 November 2008. Untuk itu, seluruh warga Malaysia yang sememangnya terikat dengan bahan api ini yang menjadi satu keperluan wajib dalam menjalani kehidupan seharian berasa sedikit lega.

Menjadi suatu kebiasaan, bila berbicara berkenaan dengan harga petrol , maka kita tidak akan terlepas juga untuk turut sama berbicara berkenaan dengan soal harga barangan keperluan, yang biasanya tertumpu kepada barangan keperluan makanan. Asasnya mudah, ini adalah kerana petrol merupakan salah satu daripada input kepada kos pengangkutan yang termasuk dalam kos operasi penghasilan barangan keperluan. Hipotesisnya ialah seandainya harga petrol dan diesel menurun, maka kos pengangkutan dan kos operasi akan turut turun, yang membawa kepada turunnya harga barangan dan begitu juga sebaliknya. Malangnya, realiti yang berlaku tidak sebegitu. Hakikatnya, harga barangan keperluan di negara kita sekarang tetap juga tidak turun walaupun harga petrol dan diesel telah turun. Indeks harga pengguna (IHP) adalah tinggi. Situasi yang membawa kepada persoalan dan kadangkala titik pencetus kepada pertikaian pelbagai pihak.

Barangan keperluan makanan seperti beras 5% hancur (RM 2.60 / kg), gula kasar (RM 1.45 / kg) dan tepung gandum (RM 1.35 / kg) (sumber KPDNHEP, 7/11/2008) adalah termasuk dalam barangan kawalan. Tinjauan penulis ke beberapa buah kedai runcit juga mendapati harga barangan seperti Milo pek 1.5kg berharga RM 22.95, sardin saiz besar jenama King Cup berharga RM 4.40, yang mana pada perkiraan penulis, adalah tinggi. Selain itu, di pasar basah, barangan seperti santan (RM 7 / kg) dan bawang putih (RM 3.50 / kg) juga tinggi. Sekadar mengambil beberapa contoh di atas, inilah yang menjadi bebanan kepada golongan marhaen, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana. Fokus perlu diberi kepada pihak yang terlibat dalam keseluruhan situasi ini di mana ia melibatkan kerajaan (penguatkuasa), peruncit, pemborong, pengilang dan pengguna. Mereka inilah pemain dalam lapangan ini. Dan pemain yang mendapat kesan paling ketara sudah tentunya pengguna.

Menelusuri situasi ini secara mendalam, kita akan berjumpa dengan peranan yang dimainkan oleh pihak-pihak di atas yang menyumbang kepada senario ini. Amnya, peruncit yang bertindak selaku penjual barangan keperluan kepada pengguna menjual barangan pada harga tertentu yang mungkin rendah atau tinggi, peruncit menetapkan harga bergantung kepada harga borong daripada pemborong, dan pemborong pula menetapkan harga bergantung kepada harga kilang. Kebiasaannya, pemborong dan peruncit akan menetapkan margin keuntungan masing-masing berdasarkan harga kilang yang mereka rasakan ‘berpatutan’. Seandainya harga kilang awal-awal lagi sudah tinggi, bayangkanlah ‘harga akhir’ yang pengguna perlu bayar. Dan pengguna juga perlu ingat, pengilang bukan semberono menetapkan harga, mereka membuat keputusan setelah menjalankan analisis dan pengiraan terperinci segala kos yang terlibat dalam penghasilan produk dan barangan. Pada saat ini pengguna pula menaruh harapan terhadap kerajaan untuk mengeluarkan arahan supaya harga barangan diturunkan walhal kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan kerana peniaga menaikkan harga barangan yang bukan di bawah kawalan, namun segelintir mereka agak berani iaitu dengan menaikkan harga barangan kawalan secara senyap-senyap.

Kembali kepada pokok persoalan, ‘harga petrol dan diesel sudah turun dan harga barangan masih tidak berubah’, kita perlu untuk menilai semula asas ekonomi dalam soal harga barangan keperluan ini. Persoalan, adakah harga petrol dan diesel semata-mata yang menyebabkan harga barangan tinggi dan tidak berubah? Faktor-faktor lain seperti kos bahan mentah, kos buruh, dan kos sampingan yang terlibat dalam kerja produksi juga menjadi penentu. Maka adakah wajar untuk kita menjatuhkan hukum bahawasanya seandainya kos petrol dan diesel rendah, maka harga produk barangan juga mesti dan wajib murah waima kos-kos lain masih lagi tinggi? Kurang adil sekiranya justifikasi ini yang disandarkan.

Faktor permintaan (demand) daripada pengguna juga adalah penentu. Hukum ekonomi menyatakan permintaan yang tinggi terhadap sesuatu produk juga menyumbang kepada kenaikan harga. Tambahan dalam sitiuasi penawaran (supply) yang terhad dan sifat monopoli dalam perniagaan. Peniaga mana yang tidak berkehendakkan untung? Walaupun bunyinya seakan cuba mengambil kesempatan ke atas pengguna, namun itulah realiti. Ketika inilah akan timbulnya soal peranan pengguna yang merangkumi sikap dan tabiat. Sikap yang ‘menolak’ kepada penurunan harga barangan seperti tidak merancang perbelanjaan, berbelanja mengikut nafsu dan tidak membuat pilihan yang bijak sehingga menyebabkan produk yang menjadi ‘tuan’ kepada pengguna dan bukannya kuasa pengguna yang menjadi ‘tuan’ kepada produk. Dek lantaran itulah kerajaan terpaksa bertindak proaktif melancarkan kempen pengguna bijak untuk mendidik pengguna dan mengurangkan inflasi.

Justeru, formula berkesan perlu dicari untuk menyelesaikan kemelut yang menjadi bebanan masyarakat ini. Tindakan harus bersifat ‘umpama menarik rambut dalam tepung’ demi untuk tidak melukakan hati dan menyusahkan mana – mana pihak.

27
Oct
07

Pak Lah Hentam Polis Malaysia??

Tangisan 

 “Maka berpalulah gendang tatkala riuh senegeri adanya wilayah Malaya yang terjadi suatu kejadian mengejutkan lagi terkejut seadanya seluruh rakyat jelata. Berangkat bertombaklah segala macam menteri dan wakil rakyat adanya menerima berita ini, tidak terlepas jua Penghulu memanda menteri, yakni Perdana Menteri kesayangan bilamana mendapat perkhabaran ini…” hikayat seribu malam dari benakku..heh

Merujuk kepada kejadian di Sungai Buloh (25/10/2007), 2 orang anggota polis sekurang-kurangnya (nasib baik 2 orang saje) ditembak mati oleh penjenayah : Mendiang Lans Koperal J.Jaya Balan dari Jabatan Narkotik Gombak dan mendiang Lans Koperal M.Alagesan dari IPK Selangor.

Kejadian itu yang melibatkan serbuan pihak berkuasa ke sebuah rumah yang disyaki menyimpan berkilo-kilo dadah di Kampung Desa Aman.

Namun begitu, pertikaian yang timbul dalam kejadian (ngeri) ini mendatangkan beberapa persoalan awal (kerana siasatan masih dijalankan) :

 1. pematuhan serbuan terhadap prosedur

2. aspek pemakaian baju kalis peluru

3. komandan yang memberi arahan

4. strategi pasukan polis dalam serbuan

Apa yang mengejutkan, polis terbabit tidak TIDAK MEMAKAI BAJU KALIS PELURU. Mari kita belek apa pula kata bapak polisi Tan Sri Musa,

“..pada masa ini hanya anggota serta pegawai yang menjalankan tugas BERBAHAYA sahaja dibekalkan baju itu (baju kalis peluru)..”

Benakku tiba-tiba sarat&konfius, apa tidaknya.. adakah manusia-manusia (polis) yang melakukan serbuan di  Sg Buloh itu tidak melakukan tugas yang diklasifikasikan “tugas berbahaya” ?? dah kalau melibatkan pistol dan peluru..pada aku itu berbahaya!

kerana sang peluru tidak menyebabkan kita sekadar loya&muntah2..tapi terus GOL!

Lagi kenyataan Tan Sri Musa :

“…polis tidak mampu menyediakan baju kalis peluru bagi setiap pegawai dan anggota yang bertugas pada ketika ini kerana memerlukan belanja yang besar..”

Astaga… apa Pak Lah tidak memperuntukkan bajet untuk polis malaysia (PDRM)?? mustahil. . .kerana pada 24/10/2007 lalu Tan Sri Musa menyatakan yang polis kita nak tambah bilangan helikopterrrrrr..! kalau boleh dua helikopterrrrr untuk setiap negeri.

terlintas analisa ‘sampah’ dibenakku : dalam kes di Sg Buloh, helikopterrrrrrr ke atau baju kalis peluru yang benar-benar membantu??? heh.

Dan sebagai peringatan kita semua, ini bukan kejadian pertama. Mangsa pertama  iaitu Koperal Manja Manaf juga telah terkorban mati ditembak perompak di Muar, Johor. Juga kes & isu kekurangan baju kalis peluru.

Sebelum terlupa, ini sebagai perkongsian yang melibatkan kejadian polis cedera dalam dua minggu terdekat ini :

1. 2 anggota polis cedera ditembak oleh penyamun di kawasan R&R Seremban (23/10/2007)

2. 2 anggota polis cedera dalam kejadian tembak-menembak berhampiran Pasar Borong Selayang (22/10/2007).

dan ini kata Pak Lah

“…sepatutnya sebelum mereka membuat serbuan mereka maklumkan kepada pihak-pihak polis sendiri…dan gunakan pembesar suara…Tapi dia punya pendekatan itu tidak kena…”


marah benar nampak gayanya ni. Tapi itula Pak Lah…tegurnya bersopan, marahnya bersenyum…dan bencinya berpuji.

p/s : Scorpene dah beli…nanti boleh la guna untuk buat serbuan. (heh..)

26
Oct
07

Melayu

Melayu itu orang yang bijaksana

Nakalnya bersulam jenaka

Budi bahasanya tidak terkira

Kurang ajarnya tetap santun

Jika menipu pun masih bersopan

Bila mengampu bijak beralas tangan

Melayu itu berani jika bersalah

Kecut takut kerana benar

Janji simpan diperut

Selalu pecah di mulut

Biar mati anak

Jangan mati adat 

Melayu di Tanah Semenanjung luas maknanya:

Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu

Banjar juga disebut Melayu

Minangkabau memang Melayu

Keturunan Acheh adalah Melayu

Jakun dan Sakai asli Melayu

Arab dan Pakistan, semua Melayu

Mamak dan Malbari serapke Melayu

Malah muailaf bertakrif Melayu 

Dalam sejarahnya

Melayu itu pengembara lautan

Melorongkan jalur sejarah zaman

Begitu luas daerah sempadan

Sayangnya kini segala kehilangan 

Melayu itu kaya falsafahnya

Kias kata bidal pusaka

Akar budi bersulamkan daya

Gedung akal laut bicara 

Malangnya Melayu itu kuat bersorak 

Terlalu ghairah pesta temasyanya

Sedangkan kampung telah tergadai

Sawah sejalur tinggal sejengkal

Tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga

Tangan masih memegang tali

Sedang orang mencapai timba

Berbuahlah pisang tiga kali

Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti

Masih berdagang di rumah sendiri  

Berkelahi cara Melayu

Menikam dengan pantun

Menyanggah dengan senyum

Marahnya dengan diam

Merendah bukan menyembah

Meninggi  bukan melonjak 

Watak Melayu menolak permusuhan

Setia dan sabar tiada sempadan

Tapi jika marah tak nampak telinga

Musuh dicari ke lubang cacing

Tak dapat tanduk telinga dijinjing

Maruah dan agama dihina jangan

Hebat amuknya tak kenal kawan 

Berdamai cara Melayu indah sekali

Silaturahim hati yang murni

Maaf diungkap senangtiasa bersahut

Tangan dihulur senangtiasa bersambut

Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tidak terbanding

Segala yang ada sanggup diberikan

Sehinggalah tercipta sebuah kiasan: 

“Dagang lalu nasi ditanakkan

Suami pulang lapar tak makan

Kera di hutan disusu-susukan

Anak di pangkuan mati kebuluran” 

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu

Masihkah tunduk tersipu-sipu?

Jangan takut melanggar pantang

Jika pantang menghalang kemajuan

Jangan segan menentang larangan

Jika yakin kepada kebenaran

Jangan malu mengucapkan keyakinan

Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana

Memegang tali memegang timba

Memiliki ekonomi mencipta budaya

Menjadi tuan di negara Merdeka

Usman Awang

p/s ; sebagai perkongsian dengan rakan-rakan, aku paparkan sebuah puisi tulisan Usman Awang.  Cerita Melayu dari benak&mindanya.

26
Oct
07

US HINA ANGKASAWAN KITA

Apa ada pada nama. Berpegang pada falsafah klasik itu, kadangkala kita betul, dan kadangkala kita salah.

Tidak salah untuk maju dan terus maju, namun jangan sampai memijak dan menguburkan terus cita-cita dan semangat orang yang ingin turut maju.

Dr. Sheikh Muszaphar Shukor (DSMS) yang berjaya pergi ke ruang angkasa untuk menjalankan kajian saintifik yang antaranya kajian makrograviti, telah pun selamat tiba kembali ke bumi dengan Soyuz. Itu faktanya.

Namun, apa yang mengguriskan hati, kebanyakan pengulas-pengulas NASA lebih selesa (dan suka) menggelarkan DSMS sebagai ‘space flight participant’.

Kenapa tidak menggunakan sahaja perkataan “astronaut” ? Bukankah lebih mudah dan senang menggunakan perkataan astronaut berbanding space flight participant.

Dan sebelum isu gelaran NASA ini pun, sudah timbul isu DSMS hanya ‘penumpang’ dalam Soyuz. Heh..begitu banyak suara-suara dengki kedengaran.

Dilihat dari sudut mudahnya, ya, memang kita tidak perlu ‘ambil pot’ dengan gelaran itu, panggillah apa sahaja yang mereka mahu dan suka, kita akan tetap ke angkasa juga! Dan telah berjaya pun.

Namun, nilaian yang dapat dibuat berdasarkan situasi itu ialah pada hakikatnya betapa susah dan berat untuk negara Barat mengiktiraf keupayaan, kebolehan dan kemampuan orang Asia terutamanya Malaysia.

Dan kalau boleh, mereka tidak mahu kita melebihi kemampuan dan pencapaian mereka (ini memang klise, kerana memang fitrah manusia yang tidak suka reputasi dicabar dan dipadam).

Walau apapun, syabas Malaysia.




Tukang Catat

saya manusia melulu sempit pemikiran dan kurang ajaran. bercakap kosong dan skeptik terhadap sesuatu yang tidak penting.

Blog Stats

  • 2,849 hits

sedang khatam

1. mencari jalan pulang : dari sosialisme kepada islam (kassim ahmad)

sudah khatam

1. memoir abdullah c.d (abdullah .d) 2. islam melayu komunis 3. ibrahim ali : crossing the waves 4. saya pun melayu (zaid ibrahim) 5. daripada sosialisme kepada islam (kassim ahmad) 6. cerita saya (lim goh tong) 7. skali (tengku farith rithaudeen) 8. musa derhaka (sh al attas) 9. macam - macam ada (sh al attas) 10. dunia belum kiamat (sh al attas) 11. tuah nasib pemimpin malaysia (sh al attas) 12. perdana menteri yang kelima (sh al attas) 13. dr burhanuddin al helmi 14. rahsia arqam 15. quo vadis, bangsaku (kassim ahmad) 16. kelantan universiti terbuka (nik aziz) 17. gerakan kiri melayu mencapai kemerdekaan

sedang cari !

1. hadis : satu penilaian semula (kassim ahmad) 2. shit (shahnon ahmad)