Archive for November, 2008

25
Nov
08

Obama : Mampu atau Tidak

Situasi : Obama Presiden AS

Persoalan : Mampu atau Tidak Mengubah Doktrin AS?

Kemenangan Barack Obama dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat yang ke-56 lalu berjaya membawa dimensi baru terhadap iklim politik negara ‘uncle Sam’ itu. Legasi pemerintahannya bakal dipimpin oleh orang kulit hitam buat pertama kali dalam sejarah.

Perlu diakui, kejayaan ini adalah kerana Obama dari parti Demokrat dilihat tampil lebih berkeyakinan dengan pelbagai manifesto yang merangkumi sektor ekonomi, politik dan sosial.

‘Change!’. Itulah moto yang menjadi roh dan jiwa kepada perjuangan Obama sepanjang kempen yang lalu. Warga AS, melihat moto ini begitu bersesuaian dengan harapan Obama akan mengubah dasar pentadbiran George W. Bush yang mencetuskan begitu banyak masalah. Kerana moto inilah juga, masyarakat antarabangsa menyambut kemenangan ini dengan nada yang agak gembira walaupun masih dalam situasi tunggu dan lihat.

Persoalan, adakah kemenangan Barack Obama mampu untuk mengubah dasar dan doktrin AS terhadap dunia? Gambaran pertama terhadap frasa di atas ialah dasar dan doktrin AS terhadap dunia ini semestinyalah telah mencetuskan berjuta masalah sehinggakan ia perlu diubah. Pada fikiran penulis, disaat kita bercerita berkenaan soal ini, perlu untuk kita fahami tiga perkara pokok iaitu pertama, sejarah peranan dan pengamalan presiden AS, kedua apakah dasar yang diamalkan oleh AS sekarang dan ketiga, adakah kapasiti yang ada pada Obama sebagai presiden nanti memadai untuk mengubah dasar ini. Dan selepas itu, barulah kita boleh menyatakan teori sama ada ‘mampu’ atau ‘tidak’.

Sejarah

Umumnya, ‘doktrin’ yang bermaksud prinsip atau kepercayaan ini akan membawa kepada terbinanya sesuatu dasar. Sejarah AS menunjukkan setiap presiden mempunyai doktrin yang tersendiri. Doktrin Nixon yang membawa kepada Perang Vietnam, Doktrin Reagen yang menyemarakkan Perang Dingin terhadap Kesatuan Soviet, Doktrin Clinton yang mencetuskan Perang Bosnia dan terkini, Doktrin Bush yang mencetuskan Perang Iraq dan Afghanistan.

Tipikalnya, setiap kali watak baru memegang portfolio sebagai presiden AS, setiap kali itulah tercetusnya peperangan atas nama mendokong demokrasi. Jelas, pendekatan peperangan untuk melebarkan hegemoni memang menjadi dasar tradisi mereka dengan alasan pihak yang satu lagi gagal memahami prinsip diplomasi .

Dasar

Hakikatnya, dasar yang ada sekarang bermasalah. Antara yang menjadi fokus ialah dasar memerangi keganasan. Perang Afghanistan dan Iraq bukan sahaja berjaya merosakkan negara orang lain, malah membunuh ribuan rakyat, hatta askar AS sendiri serta menelan kos yang tinggi.

Paling ketara ialah dasar luar AS. Sikap AS terhadap isu di Asia Barat dan Timur Tengah amat tidak adil. Isu Israel-Palestin memperlihatkan Israel secara sengaja melanggar perjanjian pelan damai yang dipersetujui, membunuh ribuan rakyat Palestin, dan melanggar lebih daripada 70 resolusi PBB, namun AS yang bertindak selaku penaja proses perdamaian menghalalkan tindakan itu walaupun memiliki kuasa veto di PBB.

Tambahan, dasar berkaitan pembangunan tenaga dan senjata AS juga tidak adil. Dasar yang membawa kepada sikap skeptik AS terhadap program pembangunan nuklear Iran telah mencetuskan ketegangan walaupun Iran memperakui pembangunan tenaga nuklearnya adalah untuk tujuan bidang kesihatan dan pertanian dan disahkan oleh IAEA. Sebaliknya, Israel dan Korea Utara yang tanpa berselindung mengakui mereka memang menjalankan pembangunan tenaga nuklear dan senjata pemusnah seperti peluru berpandu, tidak pula ditekan AS.

Terkini, dasar ekonomi AS juga bermasalah. Krisis subprima yang menjadi punca kepada krisis ekonomi global adalah disebabkan oleh sistem pasaran bebas dan sistem kewangan perbankan yang mengutamakan riba dan menguntungkan sesetengah pihak.

Kapasiti

Berbalik kepada soal kapasiti yang ada pada Obama, persoalannya adakah kerja dan keputusan pembentukan dasar AS berada di bawah kuasa mutlak presiden semata-mata? Kita bukan lagi hidup pada zaman feudal di mana raja berkuasa mutlak.

Praktikalnya, di AS wujud golongan yang berpengaruh dalam pembentukan dasar dan hala tuju negara. Golongan yang popular dengan gelaran ‘pelobi Yahudi’ ini sudah wujud sekian lama dalam pentadbiran AS sejak zaman Presiden Woodrow Wilson. Golongan ini tetap wujud, walau presiden bersilih ganti.

Pelobi Yahudi menguasai segenap ceruk bidang ekonomi dari makanan sehinggalah media massa. Watak-watak seperti Paul Wolfowitz, Zbigniew Brzezinski dan Ari Fleischer adalah penasihat belakang tabir dasar AS.

Michael Dell (IT) dan Steven Spielberg (perfileman dan media) juga adalah contoh penyumbang kemantapan ekonomi AS. Jaringan sosial mereka yang menyumbang hampir separuh daripada dana pendidikan AS, kemudahan kesihatan mahupun fasiliti umum bernilai jutaan dolar AS.

Berdasarkan kepada realiti ini, fahamlah kita bahawa dasar ekonomi dan dasar luar AS yang pro-Israel seperti isu Palestin, isu Iran, perang Afghanistan dan Iraq ada hubung kait dengan pelobi Yahudi.

Secara logik akalnya, adakah Obama sanggup untuk tidak mengambil kira pandangan dan kemahuan pelobi Yahudi dalam menentukan dasar AS nanti, sedangkan pada masa yang sama, ekonomi AS yang merupakan tonggak kesejahteraan rakyat menjadi galang ganti?

Kalaupun Obama benar-benar ikhlas, memadaikah semangat dan janji beliau untuk melakukan perubahan dalam keadaan United States National Security Council dipengaruhi oleh pelobi Yahudi? Dan yang paling penting, sepanjang menjadi Senator, Obama menyokong penuh organisasi Aipac yang digerakkan oleh pelobi pro-Israel.

Nampak seolah-olah Obama cuba bermain retorik.

Harapan

Maka, terpulanglah kepada kita untuk menyatakan sama ada mampu atau tidak Obama mengubah dasar dan doktrin AS terhadap dunia. Teori mampu ini mengambil kira pelbagai faktor di atas. Namun dalam diam, seantero masyarakat antarabangsa masih mengharapkan moto ‘Change’ benar-benar direalisasikan!

25
Nov
08

Hipotesis Harga Minyak

Harga petrol dan diesel turun lagi sebanyak 15 sen seliter baru – baru ini. Walaupun begitu, harga kebanyakan barang keperluan tidak berubah.

Kredit perlu diberikan kepada kerajaan Malaysia atas tindakan popular iaitu menurunkan harga petrol dan diesel untuk penjualan domestik. Umum mengetahui bahawasanya harga petrol di pasaran dunia kini berlegar di bawah paras AS$70 setong. Justeru, tindakan kerajaan menurunkan harga petrol dan diesel ini adalah selaras dengan penurunan harga yang berlaku di pasaran antarabangsa. Sehingga kini, harga petrol yang terdiri daripada RON97 dan RON92 ialah masing – masing pada paras RM2.15 dan RM2.05 seliter, dan diesel RM2.05 seliter yang bermula 2 November 2008. Untuk itu, seluruh warga Malaysia yang sememangnya terikat dengan bahan api ini yang menjadi satu keperluan wajib dalam menjalani kehidupan seharian berasa sedikit lega.

Menjadi suatu kebiasaan, bila berbicara berkenaan dengan harga petrol , maka kita tidak akan terlepas juga untuk turut sama berbicara berkenaan dengan soal harga barangan keperluan, yang biasanya tertumpu kepada barangan keperluan makanan. Asasnya mudah, ini adalah kerana petrol merupakan salah satu daripada input kepada kos pengangkutan yang termasuk dalam kos operasi penghasilan barangan keperluan. Hipotesisnya ialah seandainya harga petrol dan diesel menurun, maka kos pengangkutan dan kos operasi akan turut turun, yang membawa kepada turunnya harga barangan dan begitu juga sebaliknya. Malangnya, realiti yang berlaku tidak sebegitu. Hakikatnya, harga barangan keperluan di negara kita sekarang tetap juga tidak turun walaupun harga petrol dan diesel telah turun. Indeks harga pengguna (IHP) adalah tinggi. Situasi yang membawa kepada persoalan dan kadangkala titik pencetus kepada pertikaian pelbagai pihak.

Barangan keperluan makanan seperti beras 5% hancur (RM 2.60 / kg), gula kasar (RM 1.45 / kg) dan tepung gandum (RM 1.35 / kg) (sumber KPDNHEP, 7/11/2008) adalah termasuk dalam barangan kawalan. Tinjauan penulis ke beberapa buah kedai runcit juga mendapati harga barangan seperti Milo pek 1.5kg berharga RM 22.95, sardin saiz besar jenama King Cup berharga RM 4.40, yang mana pada perkiraan penulis, adalah tinggi. Selain itu, di pasar basah, barangan seperti santan (RM 7 / kg) dan bawang putih (RM 3.50 / kg) juga tinggi. Sekadar mengambil beberapa contoh di atas, inilah yang menjadi bebanan kepada golongan marhaen, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana. Fokus perlu diberi kepada pihak yang terlibat dalam keseluruhan situasi ini di mana ia melibatkan kerajaan (penguatkuasa), peruncit, pemborong, pengilang dan pengguna. Mereka inilah pemain dalam lapangan ini. Dan pemain yang mendapat kesan paling ketara sudah tentunya pengguna.

Menelusuri situasi ini secara mendalam, kita akan berjumpa dengan peranan yang dimainkan oleh pihak-pihak di atas yang menyumbang kepada senario ini. Amnya, peruncit yang bertindak selaku penjual barangan keperluan kepada pengguna menjual barangan pada harga tertentu yang mungkin rendah atau tinggi, peruncit menetapkan harga bergantung kepada harga borong daripada pemborong, dan pemborong pula menetapkan harga bergantung kepada harga kilang. Kebiasaannya, pemborong dan peruncit akan menetapkan margin keuntungan masing-masing berdasarkan harga kilang yang mereka rasakan ‘berpatutan’. Seandainya harga kilang awal-awal lagi sudah tinggi, bayangkanlah ‘harga akhir’ yang pengguna perlu bayar. Dan pengguna juga perlu ingat, pengilang bukan semberono menetapkan harga, mereka membuat keputusan setelah menjalankan analisis dan pengiraan terperinci segala kos yang terlibat dalam penghasilan produk dan barangan. Pada saat ini pengguna pula menaruh harapan terhadap kerajaan untuk mengeluarkan arahan supaya harga barangan diturunkan walhal kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan kerana peniaga menaikkan harga barangan yang bukan di bawah kawalan, namun segelintir mereka agak berani iaitu dengan menaikkan harga barangan kawalan secara senyap-senyap.

Kembali kepada pokok persoalan, ‘harga petrol dan diesel sudah turun dan harga barangan masih tidak berubah’, kita perlu untuk menilai semula asas ekonomi dalam soal harga barangan keperluan ini. Persoalan, adakah harga petrol dan diesel semata-mata yang menyebabkan harga barangan tinggi dan tidak berubah? Faktor-faktor lain seperti kos bahan mentah, kos buruh, dan kos sampingan yang terlibat dalam kerja produksi juga menjadi penentu. Maka adakah wajar untuk kita menjatuhkan hukum bahawasanya seandainya kos petrol dan diesel rendah, maka harga produk barangan juga mesti dan wajib murah waima kos-kos lain masih lagi tinggi? Kurang adil sekiranya justifikasi ini yang disandarkan.

Faktor permintaan (demand) daripada pengguna juga adalah penentu. Hukum ekonomi menyatakan permintaan yang tinggi terhadap sesuatu produk juga menyumbang kepada kenaikan harga. Tambahan dalam sitiuasi penawaran (supply) yang terhad dan sifat monopoli dalam perniagaan. Peniaga mana yang tidak berkehendakkan untung? Walaupun bunyinya seakan cuba mengambil kesempatan ke atas pengguna, namun itulah realiti. Ketika inilah akan timbulnya soal peranan pengguna yang merangkumi sikap dan tabiat. Sikap yang ‘menolak’ kepada penurunan harga barangan seperti tidak merancang perbelanjaan, berbelanja mengikut nafsu dan tidak membuat pilihan yang bijak sehingga menyebabkan produk yang menjadi ‘tuan’ kepada pengguna dan bukannya kuasa pengguna yang menjadi ‘tuan’ kepada produk. Dek lantaran itulah kerajaan terpaksa bertindak proaktif melancarkan kempen pengguna bijak untuk mendidik pengguna dan mengurangkan inflasi.

Justeru, formula berkesan perlu dicari untuk menyelesaikan kemelut yang menjadi bebanan masyarakat ini. Tindakan harus bersifat ‘umpama menarik rambut dalam tepung’ demi untuk tidak melukakan hati dan menyusahkan mana – mana pihak.




Tukang Catat

saya manusia melulu sempit pemikiran dan kurang ajaran. bercakap kosong dan skeptik terhadap sesuatu yang tidak penting.

Blog Stats

  • 2,844 hits

sedang khatam

1. mencari jalan pulang : dari sosialisme kepada islam (kassim ahmad)

sudah khatam

1. memoir abdullah c.d (abdullah .d) 2. islam melayu komunis 3. ibrahim ali : crossing the waves 4. saya pun melayu (zaid ibrahim) 5. daripada sosialisme kepada islam (kassim ahmad) 6. cerita saya (lim goh tong) 7. skali (tengku farith rithaudeen) 8. musa derhaka (sh al attas) 9. macam - macam ada (sh al attas) 10. dunia belum kiamat (sh al attas) 11. tuah nasib pemimpin malaysia (sh al attas) 12. perdana menteri yang kelima (sh al attas) 13. dr burhanuddin al helmi 14. rahsia arqam 15. quo vadis, bangsaku (kassim ahmad) 16. kelantan universiti terbuka (nik aziz) 17. gerakan kiri melayu mencapai kemerdekaan

sedang cari !

1. hadis : satu penilaian semula (kassim ahmad) 2. shit (shahnon ahmad)