Archive for October, 2007

27
Oct
07

Pak Lah Hentam Polis Malaysia??

Tangisan 

 “Maka berpalulah gendang tatkala riuh senegeri adanya wilayah Malaya yang terjadi suatu kejadian mengejutkan lagi terkejut seadanya seluruh rakyat jelata. Berangkat bertombaklah segala macam menteri dan wakil rakyat adanya menerima berita ini, tidak terlepas jua Penghulu memanda menteri, yakni Perdana Menteri kesayangan bilamana mendapat perkhabaran ini…” hikayat seribu malam dari benakku..heh

Merujuk kepada kejadian di Sungai Buloh (25/10/2007), 2 orang anggota polis sekurang-kurangnya (nasib baik 2 orang saje) ditembak mati oleh penjenayah : Mendiang Lans Koperal J.Jaya Balan dari Jabatan Narkotik Gombak dan mendiang Lans Koperal M.Alagesan dari IPK Selangor.

Kejadian itu yang melibatkan serbuan pihak berkuasa ke sebuah rumah yang disyaki menyimpan berkilo-kilo dadah di Kampung Desa Aman.

Namun begitu, pertikaian yang timbul dalam kejadian (ngeri) ini mendatangkan beberapa persoalan awal (kerana siasatan masih dijalankan) :

 1. pematuhan serbuan terhadap prosedur

2. aspek pemakaian baju kalis peluru

3. komandan yang memberi arahan

4. strategi pasukan polis dalam serbuan

Apa yang mengejutkan, polis terbabit tidak TIDAK MEMAKAI BAJU KALIS PELURU. Mari kita belek apa pula kata bapak polisi Tan Sri Musa,

“..pada masa ini hanya anggota serta pegawai yang menjalankan tugas BERBAHAYA sahaja dibekalkan baju itu (baju kalis peluru)..”

Benakku tiba-tiba sarat&konfius, apa tidaknya.. adakah manusia-manusia (polis) yang melakukan serbuan di  Sg Buloh itu tidak melakukan tugas yang diklasifikasikan “tugas berbahaya” ?? dah kalau melibatkan pistol dan peluru..pada aku itu berbahaya!

kerana sang peluru tidak menyebabkan kita sekadar loya&muntah2..tapi terus GOL!

Lagi kenyataan Tan Sri Musa :

“…polis tidak mampu menyediakan baju kalis peluru bagi setiap pegawai dan anggota yang bertugas pada ketika ini kerana memerlukan belanja yang besar..”

Astaga… apa Pak Lah tidak memperuntukkan bajet untuk polis malaysia (PDRM)?? mustahil. . .kerana pada 24/10/2007 lalu Tan Sri Musa menyatakan yang polis kita nak tambah bilangan helikopterrrrrr..! kalau boleh dua helikopterrrrr untuk setiap negeri.

terlintas analisa ‘sampah’ dibenakku : dalam kes di Sg Buloh, helikopterrrrrrr ke atau baju kalis peluru yang benar-benar membantu??? heh.

Dan sebagai peringatan kita semua, ini bukan kejadian pertama. Mangsa pertama  iaitu Koperal Manja Manaf juga telah terkorban mati ditembak perompak di Muar, Johor. Juga kes & isu kekurangan baju kalis peluru.

Sebelum terlupa, ini sebagai perkongsian yang melibatkan kejadian polis cedera dalam dua minggu terdekat ini :

1. 2 anggota polis cedera ditembak oleh penyamun di kawasan R&R Seremban (23/10/2007)

2. 2 anggota polis cedera dalam kejadian tembak-menembak berhampiran Pasar Borong Selayang (22/10/2007).

dan ini kata Pak Lah

“…sepatutnya sebelum mereka membuat serbuan mereka maklumkan kepada pihak-pihak polis sendiri…dan gunakan pembesar suara…Tapi dia punya pendekatan itu tidak kena…”


marah benar nampak gayanya ni. Tapi itula Pak Lah…tegurnya bersopan, marahnya bersenyum…dan bencinya berpuji.

p/s : Scorpene dah beli…nanti boleh la guna untuk buat serbuan. (heh..)

26
Oct
07

Melayu

Melayu itu orang yang bijaksana

Nakalnya bersulam jenaka

Budi bahasanya tidak terkira

Kurang ajarnya tetap santun

Jika menipu pun masih bersopan

Bila mengampu bijak beralas tangan

Melayu itu berani jika bersalah

Kecut takut kerana benar

Janji simpan diperut

Selalu pecah di mulut

Biar mati anak

Jangan mati adat 

Melayu di Tanah Semenanjung luas maknanya:

Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu

Banjar juga disebut Melayu

Minangkabau memang Melayu

Keturunan Acheh adalah Melayu

Jakun dan Sakai asli Melayu

Arab dan Pakistan, semua Melayu

Mamak dan Malbari serapke Melayu

Malah muailaf bertakrif Melayu 

Dalam sejarahnya

Melayu itu pengembara lautan

Melorongkan jalur sejarah zaman

Begitu luas daerah sempadan

Sayangnya kini segala kehilangan 

Melayu itu kaya falsafahnya

Kias kata bidal pusaka

Akar budi bersulamkan daya

Gedung akal laut bicara 

Malangnya Melayu itu kuat bersorak 

Terlalu ghairah pesta temasyanya

Sedangkan kampung telah tergadai

Sawah sejalur tinggal sejengkal

Tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga

Tangan masih memegang tali

Sedang orang mencapai timba

Berbuahlah pisang tiga kali

Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti

Masih berdagang di rumah sendiri  

Berkelahi cara Melayu

Menikam dengan pantun

Menyanggah dengan senyum

Marahnya dengan diam

Merendah bukan menyembah

Meninggi  bukan melonjak 

Watak Melayu menolak permusuhan

Setia dan sabar tiada sempadan

Tapi jika marah tak nampak telinga

Musuh dicari ke lubang cacing

Tak dapat tanduk telinga dijinjing

Maruah dan agama dihina jangan

Hebat amuknya tak kenal kawan 

Berdamai cara Melayu indah sekali

Silaturahim hati yang murni

Maaf diungkap senangtiasa bersahut

Tangan dihulur senangtiasa bersambut

Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tidak terbanding

Segala yang ada sanggup diberikan

Sehinggalah tercipta sebuah kiasan: 

“Dagang lalu nasi ditanakkan

Suami pulang lapar tak makan

Kera di hutan disusu-susukan

Anak di pangkuan mati kebuluran” 

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu

Masihkah tunduk tersipu-sipu?

Jangan takut melanggar pantang

Jika pantang menghalang kemajuan

Jangan segan menentang larangan

Jika yakin kepada kebenaran

Jangan malu mengucapkan keyakinan

Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana

Memegang tali memegang timba

Memiliki ekonomi mencipta budaya

Menjadi tuan di negara Merdeka

Usman Awang

p/s ; sebagai perkongsian dengan rakan-rakan, aku paparkan sebuah puisi tulisan Usman Awang.  Cerita Melayu dari benak&mindanya.

26
Oct
07

US HINA ANGKASAWAN KITA

Apa ada pada nama. Berpegang pada falsafah klasik itu, kadangkala kita betul, dan kadangkala kita salah.

Tidak salah untuk maju dan terus maju, namun jangan sampai memijak dan menguburkan terus cita-cita dan semangat orang yang ingin turut maju.

Dr. Sheikh Muszaphar Shukor (DSMS) yang berjaya pergi ke ruang angkasa untuk menjalankan kajian saintifik yang antaranya kajian makrograviti, telah pun selamat tiba kembali ke bumi dengan Soyuz. Itu faktanya.

Namun, apa yang mengguriskan hati, kebanyakan pengulas-pengulas NASA lebih selesa (dan suka) menggelarkan DSMS sebagai ‘space flight participant’.

Kenapa tidak menggunakan sahaja perkataan “astronaut” ? Bukankah lebih mudah dan senang menggunakan perkataan astronaut berbanding space flight participant.

Dan sebelum isu gelaran NASA ini pun, sudah timbul isu DSMS hanya ‘penumpang’ dalam Soyuz. Heh..begitu banyak suara-suara dengki kedengaran.

Dilihat dari sudut mudahnya, ya, memang kita tidak perlu ‘ambil pot’ dengan gelaran itu, panggillah apa sahaja yang mereka mahu dan suka, kita akan tetap ke angkasa juga! Dan telah berjaya pun.

Namun, nilaian yang dapat dibuat berdasarkan situasi itu ialah pada hakikatnya betapa susah dan berat untuk negara Barat mengiktiraf keupayaan, kebolehan dan kemampuan orang Asia terutamanya Malaysia.

Dan kalau boleh, mereka tidak mahu kita melebihi kemampuan dan pencapaian mereka (ini memang klise, kerana memang fitrah manusia yang tidak suka reputasi dicabar dan dipadam).

Walau apapun, syabas Malaysia.

26
Oct
07

Al-Quran Layak Barang Lelong

Dunia lelongan memang tidak pernah sepi daripada kejutan, dan tidak pernah sunyi daripada kegemparan. Segala macam barangan unik dan berharga diperdagangkan kepada mereka yang berminat hatta seluar dalam sekalipun! Asalkan ia punya nilai ‘estetika’ dan ‘menarik’ pada pandangan sesetengah mata…heh.

Dan yang terbaru, kitab rujukan pertama umat Muhammad iaitu naskah al-Quran pun menjadi barang lelongan.

Menarik bunyinya jika dilihat pada nilai angka lelongan iaitu RM7.89 juta!

Dari satu sudut, angka ini secara simboliknya memberi gambaran betapa bernilai dan berharganya al-Quran. Umat Islam di seluruh dunia boleh bergembira dan bersenang hati kerana kitab junjungan mereka memecahkan rekod harga tertinggi, dan yang pastinya tidak pernah ada kitab rujukan agama yang dijaja dengan harga yang sebegitu rupa.

Namun tertanya aku secara sendiri, adakah al-Quran yang berstatus kitab rujukan paling lengkap dan sempurna (satu-satunya harta umat Islam di zaman ini yang masih tinggal) itu wajar dan munasabah untuk dijadikan barang lelongan??

Cuba untuk tidak berfikir dalam ruang yang sempit, aku melihatnya dari jelingan yang positif. Pertama, ya! Harga itu simbolik tinggi nilainya al-Quran. Kedua, betapa al-Quran adalah barangan yang memang (sudah pasti) akan ada orang beli dan miliki, dek kerana itu, ada orang/pihak yang berani melelong pada harga tinggi.

Namun, otak dan benak pemikiran aku seakan tidak bersetuju (mungkin dipengaruhi emosi). Manakan tidak, kerana al-Quran dijadikan barang lelongan.

Lelongan ini yang sebenarnya dijalankan oleh sebuah gedung (Gedung Lelong Christie’s) di London. Lelongan yang dijalankan atas nama kesenian dunia Islam dari India ini, menjaja al-Quran yang ditandatangani oleh Yahya bin Muhammad ibn Umar, bertarikh 17 ramadhan 599 (jun 1203) dan ditulis sepenuhnya dengan dakwat emas.

Pada asasnya, aku pun tidak pasti (dan kadangkala bengong sendiri) memikirkan makna dan definisi ‘sensitiviti agama’ yang dipegang oleh umat Islam pada hari ini. Dalam kes lelongan ini, apakah perlu atau tidak kita sensitif??

Kalau ya kenapa dan kalau tidak kenapa??

23
Oct
07

SAH..MEMANG MAKAN DUIT RAKYAT!

“..salah satu tanda dekatnya Hari Pembalasan

ialah pemimpin yang lahir bukan dari kalangan

mereka yang sepatutnya..”

Laporan Ketua Audit Negara yang masih segar dan bugar telah berjaya membongkar betapa golongan pemimpin yang dipertanggungjawakan untuk menjadi khalifah di bumi Malaysia ini adalah …….. korup!

Untuk makluman, secara umumnya Laporan Ketua Audit Negara 2006  merupakan hasil kerja Jabatan Audit Negara yang mengaudit segala perbelanjaan dan pengurusan dana kewangan di jabatan-jabatan kerajaan khususnya. Dan untuk sesi 2006/2007 ini, suatu ‘penemuan menarik’ telah berjaya digeledah oleh Jabatan Audit ini.

Mari kita tinjau dan belek beberapa intipati hasil daripada siasatan Audit Negara (2006) :

1. proses pembelian peralatan dan kelengkapan pada kadar yang melebihi harga pasaran

2. salah urus dana awam 

 3. penyalahgunaan perbelanjaan kementerian dan jabatan kerajaan

4. wujud unsur-unsur korupsi di kalangan pegawai-pegawai kerajaan

..dan untuk kesekian kalinya, beberapa (tidak wajar sebenarnya untuk aku menggunakan istilah ini…kerana jumlah yang nyatanya bukan kategori ‘beberapa’) orang pegawai kerajaan ditahan dan disabit kesalahan seperti yang dinyatakan di atas tadi.

Antara ‘pahlawan-pahlawan’ korupsi ini ialah :

1. 2 orang pegawai Kementerian Belia & Sukan (KBS) 

2. seorang pegawai  Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat (KPWKM) 

3. Seorang perunding dan seorang pembekal barangan kepada kementerian berkenaan

Apa yang menjadikan cerita ini menarik ialah bagaimana puak-puak haloba ini menaikkan harga barangan untuk tujuan pembelian oleh jabatan masing-masing. Modus operandinya cukup mudah namun licik…

Kita sedia maklum yang jabatan-jabatan / agensi kerajaan di Malaysia diperuntukkan dengan sejumlah ‘UWANG’ hasil dari pembahagian bajet setiap tahun. Dan jabatan-jabatan ini akan membelanjakan sejumlah nilai daripada tabung mereka untuk membeli peralatan dan kelengkapan. Sebagai contohnya, Institut Kemahiran Belia Negara(IKBN) membeli peralatan pertukangan untuk tujuan pembelajaran. Setiap jabatan ini akan punya perunding untuk memberi nasihat dalam urusan pembelian.

..Dan ketika ini lah, pemakan-pemakan duit haram ini akan mengambil kesempatan. dan hasilnya..heh.. MEMANG mengagumkan jiwa dan raga :

1. RM5.72 juta untuk 2 buah menara kren, sedangkan harga sebenar pasaran RM2.98

2. RM224.94 untuk pemutar skru, sedangkan harga sebenar pasaran RM40 

3. RM10,700  untuk set buku teknikal, sedangkan harga pasaran RM417

4. RM5741 untuk jek dua  tan, sedangkan harga pasaran RM50

5.  RM224.95 untuk set pen Steadler Mar,sedangkan harga pasaran RM120

Atas kebobrokan ini juga telah membawa kepada kerugiaan sebanyak RM8.39 juta yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan.

Tatkala melihat dan merenung pendedahan berani ini, terlintas analisa ‘sampah’ di benakku yang melihat dari dua sudut… 

Dari satu sudut, tabik ‘springggg..’ diberikan kepada Tan Sri Ambrin Buang yang menggalas kerusi panas Ketua Audit Negara, kerana keberanian dan ketelusannya dalam melaksankan ‘Amar Makruf Nahi Mungkar’. Bukan mudah untuk membongkar pekung pegawai-pegawai kebal ini, kalau hati tidak kuat dengan pujukan ‘ibu duit’, pasti tidak terhasil Laporan 2006 yang telus ini!

Dari satu sudut lain…heh, pendedahan ini tidaklebih dari sekadar gimik menjelang pilihanraya… bagaikan ‘berbuat baik di bulan ramadhan’, sucinya cuma sekejap. Cuba untuk meletakkan pemikiran aku di pihak berhaluan kiri dengan berfikir bahawasanya tindakan & pendedahan Jabatan Audit Negara ini sebenarnya hanya untuk membuktikan betapa kerajaan pasca Mahathir pimpinan Pak Lah pada hari ini telus. Lantas golongan ‘peraih undi’ ini merancang dan memilih beberapa ‘kambing hitam’ untuk dijadikan subjek dalam hikayat  ini. Kesian pula pegawai-pegawai KBS, IKBN  dan KPWKM ini. Tentu mereka ini tidak punya pertalian yang kuat dengan orang yag lebih atas untuk dibuat modal supaya tutup mulut..heh.Yang berpuluh dan beratus di luar sana yang masih korup lagi bagaimana?

21
Oct
07

BERKELANA DI BUMI DIPONEGORO

Berbekalkan gitar kapok dan suara yang boleh dikategorikan sebagai “..boleh laa..”, sekumpulan anak muda berselerakan di kota Jakarta menghiburkan sesiapa sahaja yang sudi menghulur.   

Kebanyakan mereka mungkin antara 12-20 tahun. Di Malaysia, golongan ini di gelar buskers dan melakukan aktiviti busking. Mungkin biasa bagi mereka yang biasa ke Central Market, Bukit Bintang (erghh…banyak pula kenangan yang terlintas di otakku tatkala tersebut Bukit Bintang). Dan di sini (Malaysia),perjuangan puak-puak ini lebih kepada mengangkat martabat seni aliran tertentu seperti Raggae, muzik tradisional Australia, Afrika dan sebagainya dan persoalan imbuhan, itu jadi nombor dua. Namun di bumi Sukarno ini, golongan busker (s), menjadikan muzik jalanan sebagai tempat untuk mencari isi perut dan penyambung nafkah! 

Pada perjalanan yang lalu (perjalanan aku bersama teman2 ke bumi Indonesia Jun 2007), senario kanak-kanak memegang gitar dan harmonika (bangsi) memang ada di mana-mana. Tidak perlu pergi jauh, malah ketika berada dalam kereta dan menunggu lampu isyarat dari hijau ke merah sekalipun, anda akan dapat menyaksikan panorama di mana bukers ini mendendangkan lagu di tingkap kereta anda! 

“..dan mungkin bila nanti, kita kan bertemu lagi…” antara bait-bait popular dendangan buskers. Besar juga pengaruh Peterpan..heh. 

Tidak menghairankan, kenapa artis-artis Indonesia kini begitu komited terhadap kerja mereka sehingga pengaruhnya menular ke Malaysia, hatta ada yang mengatasi artis Malaysia sendiri. Bukan senang untuk senang di Indonesia! Artis Malaysia pun kalau mula mereka sebagai pemuzik jalanan papa kedana..rasanya lebih bermutu dari apa yang ada sekarang (heh..jangan marah).  

Tidak cukup dengan buskers, jalan-jalan raya di Jakarta ini dipenuhi dengan penjaja-penjaja jalanan. Keropok, kacang, biskut dan kek dijual secara berjalan dari kereta ke kereta (kalau di Malaysia lebih terkenal dengan gelaran ‘direct selling dari rumah ke rumah’). Dan yang paling mengejutkan aku, mengikut apa yang dikatakan oleh Pak Lah, iaitu pemandu pelancong kami, air mineral dalam botol yang beraneka corak itu sebenarnya ada yang diambil dari air paip! Botolnya diambil dari kaki-kaki jalan, dibasuh, diisi air dan dijual. Heh…kreatif…dan mengazabkan mereka yang minum. Indonesia oh Indonesia. 

Kalau di Malaysia, kita biasa melihat warga-warga Myanmar yang mengendong dan mengheret anak meminta sedekah di stesen-stesen bas, food court (seksyen 2 shah alam mungkin), kedai mamak Hakim (seksyen 7, orang buta mungkin), tapi di Indonesia, suasananya lebih meriah.Tatkala bas yang kami naiki sampai di simpang tiga untuk memasuki kota Jakarta, bergelimpangan peminta-peminta sedekah. Malah mereka ini bertindak berani, berdiri di tengah jalan raya, menahan bas kami (memang Indonesia punya banyak ilmu kebal dan batin, sebab tu ramai wali-wali songo kat sana) dan meminta sedekah dari luar tingkap. Beberapa kali co-pilot memberi amaran kerana mereka ini mahu menaiki bas kami untuk meminta sedekah! “Bapak..bapak…ada uwang?..” erghh….terasa cair juga kadang-kadang melihatkan kanak-kanak ini. 

Melihatkan kepada deretan kereta sama ada di lebuh raya mahupun jalan bandaran biasa, agak ragu-ragu juga untuk menganggar penduduk di kota Jakarta. Dan daripada apa yang Pak Lah katakan kepada aku, angkanya mencecah JUTA! Astaga…! Memang ramai ya pak..Tapi, tidak semuanya rakyat Indonesia sebegitu, ramai juga yang berjaya dan berduit, kalau tidak, tak kan terbina monumen-monumen agung di sana. Mungkin kita perlu menyingkap kembali semangat pemimpin agungnya “..Berikan aku sepuluh orang muda, nescaya aku akan menggoncang dunia ini..”  

Dan yang paling penting, Indonesia adalah syurga VESPA! Yea rite…dalam diam aku dah berjanji pada diri untuk kembali ke tanah ini untuk melihat dan mencari VESPA idaman dengan harga yang murah. LAMBRETTA yang kat rumah ni, akan punya teman tidak lama lagi,heh. Di kota Bandung, selama aku berdiri 10-15 minit di tepi jalan raya, lebih 50 buah VESPA yang melintas. Sempat juga berpossing mengambil gambar kenangan (bukan selalu dapat peluang macam ni).  

Sekali lagi aku bersyukur, tatkala melihat kad pengenalanku tertera “WARGANEGARA”, menjadi rakyat Malaysia adalah antara perkara terbaik yang terjadi dalam hidupku. Heh.

21
Oct
07

BALIKLAH ANAK KELANTAN!

Gegak gempita seluruh alam tatkala Pak Lah melancarkan WPI, NCER dan yang terbaru ECER. Umum sedia maklum WPI ialah Wilayah Pembangunan Iskandar yang memberi fokus kepada selatan Johor, NCER atau dalam nama Bahasa Melayunya ialah Wilayah Pembangunan Ekonomi Utara yang memberi fokus kepada beberapa negeri tanah air. Apa pula ECER?

ECER atau dalam nama Bahasa Melayunya ialah Wilayah Ekonomi Pantai Timur memberi fokus pembangunan kepada Kelantan, Terengganu dan Pahang. Terbelek Berita Harian yang mencatatkan bahawa Pak Lah akan melancarkan program ini di Kelantan dan Terengganu pada 29 oktober 2007 ini. Manakala Pahang pada keesokan harinya.

ECER ini meliputi kawasan seluas 66.736 kilometer persegi.Sape kata kerajaan pusat taik hidung masin??? Ish……tak patut dan tak tau diuntung. Ya..memang Kelantan ditadbir PAS dibawah naungan Tok Guru. Namun itu bukan batu penghalangya. 

Yang paling menariknya, Pak Lah berhasrat agar golongan anak-anak Kelantan yang berpendidikan, ahli korporat, ahli akademik, ahli perniagaan dan segala macam ahli yang dok bermaustatin diluar sana..balik semula ke Kelantan. Untuk apa???

Sudah gaharu cendana pula…untuk menggerakkan program ECER ni la. Terlintas di otakku laporan Buletin Utama tak lama dulu, antara lain melaporkan rakyat Kelantan adalah antara mereka yang teramai sekali berhijrah ke negeri-negeri lain terutamanya KL, Selangor, Pulau Pinang dan Johor untuk mencari rezeki. Dan terbayang pula andai kata seruan Pak Lah itu disahut, mesti lengang kota raya KL dan Selangor (orang kata kat KL dan Selangor ramai orang Kelantan berbanding dengan orang dari negeri lain..aku pun tak pasti, bagi aku, mana-mana pun ada orang Kelantan, yang jual Tomyam kat seksyen 25 tu pun orang Kelantan..heh). Lengang tak bermakna kosong, masih ada bapak-bapak seberang kan. Heh. 

Pak Lah akan melancarkan ECER di padang Kompleks Sekolah-Sekolah Wakaf Mek Zainab kira-kira pukul 2 petang. Apa lagi..maghi lar kito gi, dok gitu?? 

Tok Pa dan Anuar Musa..seronok la tu gamaknya. Jom bersama-sama mereka membangunkan Kota Kelantan. Dato Idris Jusoh?? Hmm..sudah tentu lebar sengihnya. Pak menteri di Pahang?? Tetap di sokong rajanya yang berjiwa rakyat. 

Terlintas juga analisa ‘sampah’ di benakku, heh, rakyat Terengganu kalau semua balik menyumbang tenaga di negerinya untuk menjayakan ECER ni, alamatnya.. setiap kali nak makan nasi dagang yang memang pure dari air tangan orang terengganu, kena pergi Terengganu la rasanya. Amboi…laku la sektor pelancongan kat Kemaman(yang ni mesti sebut..sebab ‘istimewa’),Dungun, Rantau Abang dan Kuala Terengganu.Dan kalau betul semua anak-anak Kelantan balik berkhidmat di negerinya, heh, gulung tikar la syarikat bas, tadak orang time raya! Tadak orang yang maut sebab bas ekspress lahanat! Bagus la tu, sape suruh bawak laju. Selesai satu masalah. 

p/s : boleh dah pelan-pelan ni anak2 Kelantan, Terengganu dan Pahang kemas2 barang untuk balik ke negeri masing2. 😉 




Tukang Catat

saya manusia melulu sempit pemikiran dan kurang ajaran. bercakap kosong dan skeptik terhadap sesuatu yang tidak penting.

Blog Stats

  • 2,844 hits

sedang khatam

1. mencari jalan pulang : dari sosialisme kepada islam (kassim ahmad)

sudah khatam

1. memoir abdullah c.d (abdullah .d) 2. islam melayu komunis 3. ibrahim ali : crossing the waves 4. saya pun melayu (zaid ibrahim) 5. daripada sosialisme kepada islam (kassim ahmad) 6. cerita saya (lim goh tong) 7. skali (tengku farith rithaudeen) 8. musa derhaka (sh al attas) 9. macam - macam ada (sh al attas) 10. dunia belum kiamat (sh al attas) 11. tuah nasib pemimpin malaysia (sh al attas) 12. perdana menteri yang kelima (sh al attas) 13. dr burhanuddin al helmi 14. rahsia arqam 15. quo vadis, bangsaku (kassim ahmad) 16. kelantan universiti terbuka (nik aziz) 17. gerakan kiri melayu mencapai kemerdekaan

sedang cari !

1. hadis : satu penilaian semula (kassim ahmad) 2. shit (shahnon ahmad)