11
Nov
09

Kelantan : Universiti Politik Terbuka

Sejak dahulu lagi, saya agak tertarik dengan cara penulisan Guru Nik Aziz Nik Mat. Susun atur ayat dan terma yang digunakan oleh beliau sangat dekat di hati. Sangat lokal.

Buku Kelantan : Universiti Politik Terbuka pada saya sangat jujur. Jujur dari perspektif seorang rakyat yang bergelar wakil kepada rakyat. Dan jujur dari perspektif seorang guru yang masih berguru. Nik Aziz Nik Mat.

Membaca perenggan – perenggan Kelantan : Universiti Politik Terbuka seolah membawa saya ke satu suasana kuliah di balasah, pondok dan musolla yang banyak terdapat di Kelantan. Sungguh. Semacam suasana mendengar kuliah subuh menanti hari cerah dan embun berhenti. Asyik.

Buku yang menjadi platform isihati seorang marhaen ini, antara lain bercerita soal sosiobudaya masyarakat Kelantan yang dijamu dan dididik dengan ceramah – ceramah agama yang merata subur di segenap daerah dan jajajah yang terdapat di Kelantan.Ya, Kelantan adalah satu – satunya negeri yang saya kira banyak dianjurkan majlis ilmu berbentuk kuliah dan ceramah ketuhanan.

Cumanya, orang luar (selain daripada rakyat Kelantan) mungkin melihat kuliah dan ceramah yang diadakan itu sebagai ceramah politik untuk menyebarkan ideologi politik kerana majoriti yang menjadi penyampai adalah wakil rakyat PAS.

Pada saya, tajuk buku ini sangat kena. Dan berjaya disampaikan oleh penulis dengan isi dan inti yang dikutip daripada realiti sosiobudaya dan masyarakat Kelantan. Kenapa Universiti Politik Terbuka? Kerana rakyat Kelantan sememangnya membesar dengan ceramah yang diadakan saban malam, bukan sahaja di pondok dan surau, malah di tengah padang rata yang bersifat ‘wayang pacak’.

Siang mereka dipenuhi dengan kerja yang bermacam, petang mereka diselangi dengan borak politik di kedai kopi, dan malam mereka dipersembahkan dengan ceramah politik (saya masih cenderung untuk menyebutnya sebagai ceramah agama).

Walau apapun, buku Kelantan : Universiti Politik Terbuka saya rasa sangat low-profile dari segi gaya penceritaan, namun punya mesej yang berat.

Anda boleh baca, sekiranya suka.

06
Nov
09

Kassim Ahmad : Revolusioner

..semangat pemberontakan ini sebenarnya menggambarkan jiwa revolusioner yang mahukan perubahan bukan bersifat tampal sulam.. (KA)

 

Kassim Ahmad : Mencari Jalan Pulang Daripada Sosialisme kepada Islam adalah sebuah memoir yang membukukan pengalaman yang sudah lama terbuku dalam jiwa rasa seorang yang bernama Kassim Ahmad.

 

Kassim Ahmad adalah seorang pemikir yang cenderung bersoal tentang perkara yang menjadi hakikat penerimaan-temurun masyarakat. Kebanyakannya mengena pada perkara sensitif (ya, masyarakat kita menganggapnya sensitif). Tipikalnya kita ialah sebolehnya jangan bersoal pasal perkara-perkara yang dianggap termaktub dan sahih. Dan kalaupun mahu bertanya soal, cukup sekadar biasa-biasa usah menyentuh perihal hakikat. Agama contohnya.

 

Bacalah, pada saya, Kassim Ahmad juga seorang sasterawan. Saya lebih nampak sisi itu.

01
Sep
09

rahsia arqam

Kitab air tangan Ann Wan Seng, tajuk : Rahsia Arqam, mencuri tumpuan dan fokus saya sewaktu di toko buku. Lahiriah fizikalnya tidak ubah seperti kitab-kitab lain yang bisa untuk kita jumpa di mana – mana. Namun ada bab yang terselit, saya kira berjaya diangkat oleh Ann Wan Seng. Mungkin kerana bahasanya yang mudah, dan mungkin juga kerana jujur dalam menulis. Ya, jujur pada tulisan, dan pada hakikat.

Tinggal dan persetankan seketika polemik ajaran sesat, taksub dan pesong yang menjadi nisan yang menguburkan arqam. Bukan sisi itu yang mahu saya kongsikan. Ketika ini.

Hakikatnya, arqam pada saat dan minit pergerakan mereka sedang rancak, kumpulan ini sebenarnya berjaya (kalau ini istilah yang betul dan tepat untuk saya gambarkan) mewujudkan rangkaian ekonomi yang luas.

Arqam bergiat dalam bidang peruncitan, pembuatan, pertanian, perkhidmatan, penerbitan dan sebagainya. Semuanya  adalah datang dari tenaga penggerak kumpulan ini.

Saya kira kumpulan yang dipancung dengan gelaran taksub dan pesong ini menjadi pelopor yang punya rangkaian paling lebar kepada sistem ekonomi islam di tanah dan bumi ini.

Sama ada ekonomi kumpulan ini benar dan betul ‘ekonomi islam’, itu pembuktian yang agak berat untuk dijatuh hukumkan. Cuma nilaian yang terbuktinya, kewujudan rangkaian ekonomi ini benar – benar berlaku dibawah jenama mereka, ARQAM (RUFAQA).

Pada dasarnya, ekonomi ini digerakkan adalah untuk menampung keperluan kehidupan jemaah. Dengan tujuan mereka boleh mengurangkan kebergantungan kepada ekonomi yang sedia ada. Kerana ekonomi yang sedia ada, ekonomi kapitalis.

Sehingga pada satu tahap, susur gerak ekonomi alunan rentak Arqam dikata berjaya memecah monopoli pembahagian kek ekonomi tanah air yang dipegang oleh kaum Cina. Dengan rangkaian kedai runcit, klinik, pembuatan makanan dan sebagainya.

Ada beberapa rangkap yang tidak berapa saya persetujui dalam struktur penceritaan Ann Wan Seng. Perspektif. Tidak mengapa.

Anda boleh baca, sekiranya suka.

Kredit kepada kajian Ann Wan Seng.

29
May
09

rejimen ke-10

sewaktu entri #melayu,islam,komunis ditulis, pada 25/5, tidak terfikir pun bahawa sehari selepas itu buletin utama berketuk gendang bercerita perihal komunis.

kebetulan<<<>>>aku== tapi itu yang selalunya. mungkin.

menurut pak menteri angkatan kabinet, ada pihak yang cuba untuk menghidupkan kembali fahaman komunis. ada usaha untuk membenih dan menyuburkan ideologi komunis. dalam susur gerak masyarakat malaysia, ada pihak yang cuba untuk semarakkan prinsip asal aliran itu !

tidak peduli.

saya.berminat dan bertumpu pada cerita pelopor gerakan tempatan. masih cuba untuk belajar dan faham kenapa dan mengapa rashid maidin dan abdullah ‘che dat’ sanggup menjadikan komunis sebagai kiblat.

terkini. tertarik dengan kitab ‘memoir abdullah c.d..zaman pergerakan sehingga 1948′. kitab yang saya jumpa di sebuah gedung.

menarik. (serius) pada saya.

isi dan inti kitab ini, lebih terperinci daripada buku sejarah tingkatan 4 dan 5 sekolah menengah, yang kadangkala saya rasakan sudah di’rogol’ kesahihan dan ‘dara’ pokok kebenaran ceritanya.

ada diceritakan soal rejimen ke-10. penggerak zaman itu mendakwa.. ‘kerana  perjuangan mereka, British berikan kita kemerdekaan’.

kagum. tapi tidak usahlah berfikiran sempit dan naif dengan menuduh orang yang memeluk dan membimbit buku komunis sebagai komunis. itu zalim.

sejarah. dan nilainya. itu subjek yang perlu untuk kita fikirkan.

semakin lama, saya rasakan cerita-cerita sejarah aliran perdana adalah semakin tidak asli. justifikasi yang agak berat untuk saya buktikan. tapi ada kebenaran yang tersorok dalam lubang gelap.

ada cerita yang tidak diceritakan, dan ada yang diceritakan tapi tidak ada cerita. sebenarnya.

sekali lagi. tanggapan awal saya. sejarah dan penceritaan sejarah ..adalah dua entiti yang sangat berbeza..semakin diyakini. namun bukanlah skeptik secara sempurna terhadap cerita sejarah bumi ini, kerana ada juga yang benarnya. mungkin sedikit. mungkin banyak. saya tidak tahu.

kata-kata yang agak baik untuk dikongsi ;

‘bertahan secara aktif. berkembang sedikit demi sedikit’. prinsip yang dipegang oleh angkatan. ketika dan waktu itu.

25
May
09

melayu, islam, komunis

sejarah.

adalah sesuatu yang dimiliki. hak. kepada sesuatu masayarakat dan negara. namun bila sejarah tidak disampaikan secara tepat. itu bukan sesuatu yang adil.

kejam. kerana menidakkan hak generasi dan angkatan baru untuk mengetahui perkara sebenar . tiba – tiba terfikir, rupa – rupanya sejarah dan penceritaan sejarah adalah dua perkara yang berbeza. amat ketara.

perkara yang berlaku pada masa silam hakikatnya memanglah benar – benar berlaku. perkara sama ada baik, buruk, cela, cacat, gembira dan sedih hanyalah kekal pada terma ‘kejadian’.

untuk diangkat sebagai cerita agar mencapai tahap sejarah adalah sesuatu yang berbeza.

ianya bergantung kepada  siapa yang bercerita. siapa yang menjadi penglipur lara. dan yang paling utama.. siapa yang berkuasa. cuma ..

terkadang, sedih. mengapa perlu untuk kita menidakkan sifat dan roh sejarah. bahawasanya sejarah adalah pembelajaran tentang masa silam.  tanpa untuk menidakkan hak semua mereka yang terlibat semasa berlakunya kejadian masa silam itu… maka ‘pencerita’, perlu untuk menyampaikan semua cerita tanpa bersikap berat sebelah dan dipengaruhi.

komunis. tidaklah sejahat yang digambarkan dalam buku – buku yang biasa kita pandang dan lihat.

rashid maidin dan abdullah c.d .. juga adalah pejuang tanah yang dipijak ini. mereka, mungkin lebih patriotik berbanding kita kini. jauh lebih patriotik..

pada saya.

19
May
09

Media Malaysia : masihkah menjunjung prinsip asal

Bila bercakap soal media, ia menggambarkan sesuatu yang luas. Bukan lagi bertumpu kepada surat khabar semata-mata. Media merupakan sebaran yang menggunakan pelbagai medium untuk tujuan sebaran. Elektronik – television, radio, laman web, dan telefon. Konvensional – surat khabar, majalah dan buku.

Para pengamal media sudah tiba ke suatu zaman di mana, tiada istilah ‘sempadan’ dalam berita. Mereka sebolehnya mahu menyampaikan berita dari segenap pelusuk kepada seantero maysarakat. Beberapa prinsip yang mudah, pada saya dalam situasi media dan sebaran. Para pengamal akan meyampaikan berita yang boleh ‘dijual’. Iaitu berita yang akan dibaca, dan dicari.Pada masa yang sama, mereka perlu untuk melihat kepada prisip kebenaran.

Pembaca. Penerima yang membaca setiap butir perkara yang disampaikan oleh pengamal media. Pada peringkat dan ketika ini, persekitaran Malaysia masih tidak dapat dipastikan di tahap manakah kebolehan golongan penerima untuk menilai akan sesuatu berita.

Penilaian ialah sesuatu yang sukar. Mungkin juga boleh dipengaruhi oleh tanggapan awal penerima terhadapa sesuatu perkara. Mampu juga boleh dipengaruhi oleh pegangan penerima terhadap sesuatu aliran pemikiran. Kadangkala, juga dipengaruhi oleh hubungan penerima dengan sesuatu yang di sebalik berita atau perkara yang berkaitan dengan berita.

Contoh. Saya mendapat berita Pak Leman membunuh seorang manusia. Pak Leman ialah jiran saya. Pada saya, dia baik. Lantas, saya tidak percaya. Situasi itu, menunjukkan saya, rasa tidak percaya terhadap berita yang diterima disebabkan oleh wujudnya hubungan antara saya dan Pak Leman – jiran. Namun, rasionalkah alasan saya untuk terus membuat kesimpulan – Pak Leman tidak bersalah? Analisis. Siasatan. Adalah perkara yang ‘perlu’. Saya perlu untuk merujuk dan mencari kepada sumber berita yang lain berkenaan perkara Pak Leman ini.

Situasi : Bila sahaja kita berhadapan dengan sumber dirasakan sudah tidak mampu untuk menyampaikan kepada kita akan sesuatu berita dengan secara jelas dan saksama, kita perlu untuk merujuk kepada sumber lain. Mungkin juga kita sudah muak dengan aliran berita utama nasiona. Maka kita sudah semakin gemar membaca sumber alternatif.

Bukti – sumber berita internet berkembang. Dikunjungi ribuan setiap hari. Kenapa? Kerana jauh di dasar hati, kita sudah semakin tidak seronok untuk membaca sumber utama berita. Kenapa? Kerana kadangkala sumber berita utama menjijikkan.

15
May
09

ibrahim ali : cerita yang tidak diberitahu

Tulisan ini bukanlah bertujuan untuk memuji – muji, jauh sekali untuk memuja dan mengagung – agungkan manusia. Hanya kerana untuk berkongsi rasa. Rasa terhadap seorang manusia yang bernama Ibrahim Ali (selepas ini akan disebut sebagai IA).

Mungkin pendapat saya, sedikit sebanyak dipengaruhi oleh sumber yang berat sebelah. ‘Ibrahim Ali : Crossing The Waves’. Lewat pembacaan buku yang menarik namun terpencil ini, menarik pemerhatian. Kenapa ditimbulkan perkara berat sebelah ? Kerana buku ini ditulis secara terus penceritaannya daripada tuan empunya badan oleh seorang penulis, Zainal Epi. Namun bagi saya, persoalan ini tidak timbul. Kerana susur galur kehidupan seorang manusia hanya.. dapat diceritakan secara tepat dan ikhlas, oleh diri sendiri.

Bab #4

Adalah bab yang paling menarik minat saya.

IA adalah seorang alumni. ITM. Dikenali pada ketika era 1972. IA dilantik sebagai setiausaha Kesatuan Mahasiswa Institut Teknologi Malaysia – KSITM selepas beberapa ketika mendaftarkan diri sebagai pelajar. Kemudiannya, mungkin kerana kewujudan IA ialah pada tempat dan masa yang sesuai, beliau dilantik sebagai Presiden KSITM.

Umumnya, KSITM pada ketika itu menitik beratkan isu-isu dalaman kampus dan tidak mengambil bahagian dalam arus aktiviti luar kampus. Namun, kehadiran IA, menukar rentak dan nada KSITM.

KSITM dibawah pengurusan dan pimpinan IA, meluaskan peranan dan keterlibatan. Terutama isu – isu kebangsaan dan global.

Taraf ITM Sebagai Institusi Kelas Kedua

Sebagai antara pemimpin pelajar, IA hidup pada zaman di mana ITM dilabel sebagai institusi kelas kedua. Mungkin kerana umurnya, berbanding dengan UM yang telah dulu bertapak dan berkembang. Perjuangan IA dan kumpulan pelajar ketika ini, adalah supaya kerajaan membangunkan lagi peranan dan fungsi ITM. Dengansemangat DEB, ITM pada keitaka itu adalah sangat rasional.

Desasiswa Project

Mungkin kini, kita lebih selesa dengan panggilan OPKIM, di kalangan warga kampus. Namun sedar atau tidak, generasi IA adalah pelopor kepada program yang seumpama ini. Situasinya pada ketika itu, masyrakat sekeliling melihat warga pelajar ITM sebagai generasi yang dipengaruhi oleh budaya barat. Hippies,  Rock, dan segala macam lagi. Mungkin kerana jurusan yang ditawarkan ketika itu adalah pengajian perniagaan, komunikasi massa dan kesetiausahaan. Itu…persepsi. Kadangkala tidak menjanjikan sesuatu yang tepat.

Peristiwa Baling

Diakui. Pada ketika zaman IA sebagai pelajar, zaman di mana berlakunya  revolusi gerakan mahasiswa. Anwar Ibrahim, Zaid Imbrahim, Hishamuddin Rais dan berpuluh, mungkin beratus lagi mereka,  hidup ketika ini. Seperti yang kita maklum, Peristiwa Baling berlaku ialah kerana isu kemiskinan. Pelajar – pelajar yang pergi melakukan demonstrasi, dikenakan ISA oleh kerajaan pada ketika itu.

Pada saat ini, IA merupakan Naib Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia – PKPM dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia – PKPIM.

Banyak yang hendak dikongsi, hanya sedikit yang mampu ditulis.  Cuma bagi saya, Ibrahim Ali adalah seorang tokoh.




Tukang Catat

saya manusia melulu sempit pemikiran dan kurang ajaran. bercakap kosong dan skeptik terhadap sesuatu yang tidak penting.

Blog Stats

  • 2,844 hits

sedang khatam

1. mencari jalan pulang : dari sosialisme kepada islam (kassim ahmad)

sudah khatam

1. memoir abdullah c.d (abdullah .d) 2. islam melayu komunis 3. ibrahim ali : crossing the waves 4. saya pun melayu (zaid ibrahim) 5. daripada sosialisme kepada islam (kassim ahmad) 6. cerita saya (lim goh tong) 7. skali (tengku farith rithaudeen) 8. musa derhaka (sh al attas) 9. macam - macam ada (sh al attas) 10. dunia belum kiamat (sh al attas) 11. tuah nasib pemimpin malaysia (sh al attas) 12. perdana menteri yang kelima (sh al attas) 13. dr burhanuddin al helmi 14. rahsia arqam 15. quo vadis, bangsaku (kassim ahmad) 16. kelantan universiti terbuka (nik aziz) 17. gerakan kiri melayu mencapai kemerdekaan

sedang cari !

1. hadis : satu penilaian semula (kassim ahmad) 2. shit (shahnon ahmad)