Kitab air tangan Ann Wan Seng, tajuk : Rahsia Arqam, mencuri tumpuan dan fokus saya sewaktu di toko buku. Lahiriah fizikalnya tidak ubah seperti kitab-kitab lain yang bisa untuk kita jumpa di mana – mana. Namun ada bab yang terselit, saya kira berjaya diangkat oleh Ann Wan Seng. Mungkin kerana bahasanya yang mudah, dan mungkin juga kerana jujur dalam menulis. Ya, jujur pada tulisan, dan pada hakikat.
Tinggal dan persetankan seketika polemik ajaran sesat, taksub dan pesong yang menjadi nisan yang menguburkan arqam. Bukan sisi itu yang mahu saya kongsikan. Ketika ini.
Hakikatnya, arqam pada saat dan minit pergerakan mereka sedang rancak, kumpulan ini sebenarnya berjaya (kalau ini istilah yang betul dan tepat untuk saya gambarkan) mewujudkan rangkaian ekonomi yang luas.
Arqam bergiat dalam bidang peruncitan, pembuatan, pertanian, perkhidmatan, penerbitan dan sebagainya. Semuanya adalah datang dari tenaga penggerak kumpulan ini.
Saya kira kumpulan yang dipancung dengan gelaran taksub dan pesong ini menjadi pelopor yang punya rangkaian paling lebar kepada sistem ekonomi islam di tanah dan bumi ini.
Sama ada ekonomi kumpulan ini benar dan betul ‘ekonomi islam’, itu pembuktian yang agak berat untuk dijatuh hukumkan. Cuma nilaian yang terbuktinya, kewujudan rangkaian ekonomi ini benar – benar berlaku dibawah jenama mereka, ARQAM (RUFAQA).
Pada dasarnya, ekonomi ini digerakkan adalah untuk menampung keperluan kehidupan jemaah. Dengan tujuan mereka boleh mengurangkan kebergantungan kepada ekonomi yang sedia ada. Kerana ekonomi yang sedia ada, ekonomi kapitalis.
Sehingga pada satu tahap, susur gerak ekonomi alunan rentak Arqam dikata berjaya memecah monopoli pembahagian kek ekonomi tanah air yang dipegang oleh kaum Cina. Dengan rangkaian kedai runcit, klinik, pembuatan makanan dan sebagainya.
Ada beberapa rangkap yang tidak berapa saya persetujui dalam struktur penceritaan Ann Wan Seng. Perspektif. Tidak mengapa.
Anda boleh baca, sekiranya suka.
Kredit kepada kajian Ann Wan Seng.
0 Responses to “rahsia arqam”